Perutusan Pengarah Tahun Baru 2016

PERHIMPUNAN BULANAN HOSPITAL TUNKU JA’AFAR
13 JANUARI 2016

Assalamualaikum w.r.m.b

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas limpah kurniaNYA dapat kita berhimpun pada pagi yang berbahagia ini iaitu dalam perhimpunan bulan Januari bulan pertama tahun 2016.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Tahun tahun Baru (Happy New Year) kepada semua warga kerja Hospital ini semoga tahun ini kita dilimpahi rahmat serta dapat meningkatkan keazaman untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan sama ada dalam kehidupan kita seharian mahupun dalam melaksanakan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam.

Hadirin sekian,

Rancangan Malaysia Ke 11 bagi tempoh (2016 – 2020), yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri kita, YAB Mohd Najib Bin Abd Razak telah menggariskan 6 strategi utama iaitu:

  • Inklusiviti
  • Modal Insan
  • Kesejahteraan Rakyat
  • Pertumbuhan Hijau
  • Infrastruktur
  • Inovasi dan Produktiviti

Terdapat 4 strategi yang terlibat secara langsung dengan Kementerian Kesihatan dan beberapa inisiatif telah disediakan oleh pihak hospital selaras dengan arahan KKM iaitu:

  • Modal Insan
  • Kesejahteraan Rakyat
  • Pertumbuhan Hijau; dan
  • Inovasi dan Produktiviti

 

MODAL INSAN

Modal Insan adalah sumber terpenting kepada pembangunan organisasi. Kejayaan sesebuah organisasi bergantung penuh kepada kekuatan dan kehebatan nilai, kompentensi dan kemahiran insaniah.

Dalam mendepani keperluan untuk meningkatkan produktiviti anggota, kursus dan latihan dalaman HTJS bagi tahun 2016 akan diperkasakan.

Dalam hubungan ini, setiap pegawai dan anggota diwajibkan untuk mencapai 7 hari berkursus bagi melengkapkan diri/dilengkapi dengan sikap(attitude), kemahiran(skill) dan pengetahuan(knowledge) yang bersesuaian melalui program pembangunan sumber manusia yang terancang yang berteraskan pembangunan kompentensi dan pembelajaran berterusan.

Mulai tahun 2016 ini saya menegaskan JKNNS tidak akan mempertimbangkan mana-mana pegawai dan anggota untuk pencalonan APC yang tidak mencapai sasaran 7 hari berkursus. Semua Ketua Unit/Penyelia dan anggota yang hadir pada pagi ini ambil maklum dan sebarkan kepada semua rakan-rakan yang lain.

 

KESEJAHTERAAN RAKYAT/PELANGGAN HTJ

Kesejahteraan rakyat adalah salah satu matlamat RMK 11. Tahap kesihatan rakyat dan kualiti penjagaan kesihatan akan terus ditingkatkan dan banyak inisiatif akan ditingkatkan oleh kerajaan seperti penambahan bilangan katil di hospital awam dan pada masa yang sama, lebih ramai pakar perubatan dan kakitangan kesihatan yang akan ditambah menjelang 2020.

Bagi mengurangkan beban kos sara hidup, di atas keprihatinan dan komitmen Kementerian Kesihatan telah membuat inisatif seperti memberi pengecualian bayaran caj pendaftaran di Jabatan pesakit luar sebanyak RM 5/- dan pengurangan caj pesakit kelas 3 sebanyak 50% kepada semua pesakit warganegara berumur 60 tahun dan ke atas.

Perkara ini mestilah dilaksanakan dan dimaklumkan kepada pesakit warga emas atau keluarga warga emas tersebut.

Makluman juga hendaklah dipamerkan di kaunter hasil dan di wad-wad. Ini ini kerana terdapat aduan yang mengenakan bayaran kepada warga emas.

Saya mahu sikap prihatin kepada pelanggan terutama kepada warga emas dan OKU hendaklah diutamakan dan sentiasa mencari jalan untuk memenuhi kehendak pelanggan yang merupakan elemen penting dalam usaha kita untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat.

Imej Hospital ini juga perlulah dijaga, bermula dengan cara kita melayan pelanggan dengan mesra dan memberikan senyuman.

Sekiranya ada aduan ianya perlu dikaji dan diteliti. Setiap teguran diambil dengan fikiran yang terbuka

Hadirin sekian,

Di Bawah Rancangan Malaysia ke 11 juga, bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tahap optima, satu unit baru telah diluluskan oleh KKM iaitu Unit Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan HTJ.

Unit ini diketuai oleh Timb. Pengarah Klinikal II iaitu Dr. Zuraini Zainal. Dan terbahagi kepada 2 subunit

i) Unit Keselamatan Pekerjaan
(Diketuai oleh: Dr Essazul Imran Bin Md Aris)
ii) Unit Kesihatan Pekerjaan
(Diketuai oleh:Dr Mohd Nazri Bin Mohd Yasin)

 

PERTUMBUHAN HIJAU

Berbicara tentang pertumbuhan Hijau atau Go Green, senario global warning yang berlaku di seluruh dunia seperti perubahan cuaca yang panas, hujan dan sejuk yang tidak menentu telah mengakibatkan pelbagai bencana alam. Oleh itu, Kementerian Kesihatan juga telah menetapkan Pelan Stategik bagi penjimatan guna tenaga dan air mulai 2016.

Di bawah langkah penjimatan ini iaitu sebanyak 10%, kita hendaklah cuba untuk sekurang-kurangnya memperolehi 1 star rating penjimatan untuk tahun pertama 2016 dan dalam tempoh 5 tahun memperolehi 3 star rating.

Disamping itu perlaksanaan program 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) akan dilaksanakan mulai 2016. Tong-tong 3R ini akan ditempatkan dikawasan yang dikhaskan.

Semua rancangan ini akan dilaksanakan oleh Pihak Medivest dan dipantau oleh satu jawatankuasa Hospital yang dilantik. Program-program awareness juga akan disediakan oleh pihak Medivest.

 

PENINGKATAN NILAI ETIKA KERJA DAN DISIPLIN

Untuk makluman semua, Y.Bhg KSU KKM dalam mesyuarat JITU(1 April 2015) telah mengarahkan agar Pihak Hospital menubuhkan satu Jawatankuasa Etika dan Displin atau dikenali ( J.E.D)

Penubuhan Jawatankuasa ini bertujuan menyediakan satu platform khas dalam meneliti dan menyemak kes pegawai dan anggota bermasalah sebelum diputuskan untuk dibawa kepada pertimbangan lembaga tatatertib.

Ianya juga bertujuan untuk mengurangkan peratusan kes-kes tatatertib kerana kita akan mengenalpasti pegawai dan anggota yang bermasalah untuk diberikan peluang dan ruang untuk penambahbaikan prestasi diri.

Pelan tindakan Jabatan Kesihatan Negeri 2016 juga telah menggariskan pelan tindakan bagi pengurusan kehadiran pegawai dan anggota.

Semua pegawai dan anggota hendaklah sentiasa mematuhi arahan kehadiran ke pejabat mengikut Pekeliling sedia ada dan semua ketua-ketua unit hendaklah membuat pemantauan dan menyediakan laporan setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan bagi mengurangkan tindakan tatatertib ketidak hadiran bertugas ke Pejabat.

Laporan pemantauan ini hendaklah dihantar ke Bahagian Pentadbiran seterusnya di bawa ke Jawatankuasa J.E.D. bagi mengenalpasti punca masalah, membimbing, menasihati dan memberi kaunseling yang sewajarnya.

Seterusnya, diharap dengan adanya J.E.D. ini dapat memantapkan sistem pengurusan sumber manusia yang lebih baik dan memberikan faedah kepada organisasi.

Sehubungan itu, bekerjalah bersungguh-sungguh dengan nilai, moral dan etika yang tinggi kerana apa yang kita buat pada hari ini akan menentukan nasib anak-anak kita pada masa hadapan.

 

SASARAN KERJA TAHUNAN (SKT)

Sistem penilaian prestasi bagi perkhidmatan Awam melibatkan proses penetepan Sasaran Kerja Tahunan(SKT), penilaian pelakuan dan pencapaian kerja tahunan semasa.

Pelaksanaan SKT melalui Aplikasi HRMIS tahun 2016 perlu diselesaikan semua warga HTJS selewat-lewatnya pada 29 Februari. SKT ini seterusnya akan diperakukan oleh Pegawai Penyelia bermula 1 Mac-30 Mac 2016.

Saya juga ingin memaklumkan beberapa pekeliling yang telah diedarkan oleh JPA untuk diambil perhatian iaitu;

Pertama,

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2015

Mengikut pekeliling ini Kerajaan akan melaksanakan Dasar Pemisah (Exit Policy) iaitu satu dasar untuk mengeluarkan atau menamatkan perkhidmatan pegawai yang berprestasi rendah dari perkhidmatan awam. Sasaran Exit Policy adalah pegawai yang berprestasi rendah yang memperolehi markah LNPT iaitu kurang daripada 60%. 
Exit policy ini berkuatkuasa mulai 19 November 2015.

Dan yang kedua,

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2015

Pekeliling ini bertujuan untuk menambahbaik kadar kemudahan cuti rehat tahunan pegawai perkhidmatan awam. Dengan berkuatkuasanya pekeliling ini mulai 1 Januari 2016 maka opsyen dan pemakaian kadar kelayakan Cuti Rehat Tahunan Pekeliling Perkhidmatan Bil 14/2008 adalah terhenti.

Dengan ini semua pegawai dan anggota yang genap 10 tahun perkhidmatan dan lebih dari lantikan pertama mohon buat semakan semula ke Unit Perkhidmatan.


Hadirin sekian,

Bagi melaksanakan rancangan-rancangan yang telah ditetapkan oleh kementerian adalah bukan kerja yang mudah. Walau bagaimanapun kita mesti berusaha bersungguh-sungguh, dan melipat gandakan usaha ke arah mencapai matlamat tersebut.

Sekiranya kita bekerjasama dengan baik antara satu sama lain, dan mengikut arahan dengan baik, saya percaya kita dapat mencapai matlamat ini dengan lebih awal.

Kita juga hendaklah sentiasa menjaga prestasi dan produktiviti mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan dari masa ke semasa. Disamping itu juga jangan lupa menjaga kesihatan diri supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dalam menjalani tugas harian.

 

Sebelum menutup ucapan saya, saya ingin mengucapkan Selamat bersara kepada DR Rachal Matthew yang akan bersara mulai 14 Januari 2016.

Segala jasa dan bakti Dr Rachal diucapkan ribuan terima kasih dan jasamu tetap dikenang.

Sekian. Terima kasih.

Read 1474 times Last modified on Monday, 25 March 2019 03:45