This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. | Telefon: 06-768 4000 | MyGovUC 2.0
TEKS UCAPAN PENGARAH
PERHIMPUNAN BULANAN JABATAN PEMBEDAHAN
HOSPITAL TUANKU JA’AFAR SEREMBAN
22 NOVEMBER 2019
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WA BARAKATUH &
SALAM SEJAHTERA
Terima Kasih Pengacara Majlis,
YBrs.
Yang Dihormati Ketua-Ketua Jabatan dan Ketua-Ketua Unit, Pakar-Pakar Perubatan, Pegawai-Pegawai Perubatan dan warga kerja HTJS.
Pertama sekali, marilah kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dengan izinNya dapat kita berkumpul di auditorium pada hari ini sempena Perhimpunan Bulanan Bagi Bulan November 2019 anjuran Jabatan Pembedahan.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada Jabatan Pembedahan (SOPD) HTJS yang diketuai oleh YBrs. Dr. Jasiah Binti Zakaria di atas komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan bagi menganjurkan Majlis ini.
Hadirin sekalian,
Jabatan Pembedahan merupakan salah satu jabatan di bawah Direktorat Perkhidmatan Pembedahan dan Kecemasan yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Klinikal I.
Untuk makluman semua, Jabatan Pembedahan telah memulakan Perkhidmatan Neurosurgeri di bawah seliaan YBrs. Dr. Rahmat bin Harun, Pakar Bedah Neurosurgeri bermula pada tahun 2016. Perkhidmatan Jabatan Pembedahan telah diperluaskan apabila perkhidmatan Pembedahan Kanak-kanak telah diwujudkan di HTJS bermula tahun 2019.
Pada 11 Oktober 2019, Jabatan Pembedahan telah melancarkan Klinik ‘Pink Ribbon’ yang merupakan laluan “Fast Track” atau saringan awal untuk pencegahan barah payudara. Rentetan daripada pelancaran PRC, Jabatan telah menganjurkan Kempen Kesedaran Kanser Payudara pada 26 Oktober 2019 bertempat di S2 City Park melibatkan pelbagai pihak seperti BCWA, LPPKN, Klinik Al-Ansar dan juga Syarikat Nestle. Program ini akan dijadikan aktiviti tahunan jabatan pada masa akan datang.
Perancangan masa hadapan, Jabatan Pembedahan memerlukan Pakar Onkologi di mana kes-kes Onkologi telah meningkat seramai 910 orang.
2. PERINGATAN DAN PEMAKLUMAN KEPADA SEMUA WARGA HTJS
2.1 TARIKH TERAKHIR PENYERAHAN DOKUMEN LENGKAP TUNTUTAN WARGA KERJA HTJS BAGI BULAN NOVEMBER DAN DISEMBER 2019
Jangkaan tarikh tutup akaun kewangan 2019 adalah pada 15 Disember 2019. Sehubungan itu, semua warga kerja hendaklah mematuhi arahan tarikh akhir penghantaran dokumen lengkap tuntutan ke Unit Kewangan HTJS seperti berikut:
(i) Semua jenis tuntutan bagi bulan November 2019 (tiada lagi bayaran Elaun Lebih Masa separuh bulan): 3 Disember 2019, 4.00 petang
- Tuntutan selepas tarikh ini akan dibayar pada tahun hadapan
(ii) Semua jenis tuntutan bagi bulan Disember 2019: 10 Januari 2020 (Bayaran dibuat di bawah kelulusan AP58(a) Tahun 2020.
(iii) Tuntutan melalui Petty Cash akan ditutup pada 22 November 2019 pukul 4.00 petang.
2.2 KEMASUKAN DATA SMRP
Saya dimaklumkan bahawa jumlah pencapaian kemasukan data SMRP HTJS amat mengecewakan terutamanya di klinik pakar dan wad kecemasan. Sehingga Oktober 2019, hanya 2943 kes (1.3%) daripada 223,192 kes dimasukkan ke dalam SMRP. Perkara ini amat serius dan semua penyelia berkaitan perlu peka dan mengambil tindakan serta merta bagi menyelesaikan isu data SMRP ini.
2.3 PESAKIT JATUH SEMASA DI WAD
Satu lagi isu yang amat membimbangkan saya adalah kes-kes pesakit jatuh semasa berada di wad didapati semakin meningkat. Statistik menunjukkan 91 kes dilaporkan dari Januari hingga 20 November 2019 seperti berikut:
Januari (11 kes), Februari (11 kes), Mac (6 kes), April (9 kes), Mei (9 kes), Jun (8 kes), Julai (3 kes), Ogos (7 kes), Oktober (16 kes) dan November (11 kes).
Wad-wad yang dikenal pasti mempunyai kes tertinggi adalah seperti berikut:
(i) 7B: 14
(ii) 1F (Geriatric): 10
(iii) 8B: 9
(iv) 7C: 7
Justeru, saya menyeru kerjasama semua pihak terutama Ketua Jururawat untuk meneliti dan mengambil perhatian mengenai perkara ini.
2.4 LATIH AMAL PENGURUSAN KRISIS (EX PERPATIH)
HTJS telah mengadakan Latih Amal Pengurusan Krisis (Ex Perpatih) pada 9 November 2019 yang melibatkan simulasi:
Sekalung tahniah dan syabas kepada semua warga HTJS yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan latih amal tersebut. Suka saya mengingatkan supaya semua warga perlu peka dengan kod kecemasan yang digunakan di HTJS ini.
2.5 KEHILANGAN PRODUK MEDICAL FOOD FORMULA (SUSU ENTERAL)
Saya juga ingin menyentuh mengenai isu produk medical food formula (susu enteral) yang tidak sampai kepada pesakit disebabkan produk tersebut diletakkan di pantri dan kadang-kadang dilaporkan sebagai hilang. Sehubungan itu, semua jururawat yang bertugas di wad diingatkan supaya mematuhi proses kerja pesanan dan pengagihan medical food formula yang dikeluarkan oleh Jabatan Dietetik dan Sajian.
PENUTUP
Hadirin sekalian,
Saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua warga HTJS atas penganjuran Perhimpunan Bulanan ini. Diharap seluruh warga kerja HTJS akan terus meningkatkan prestasi dalam menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pesakit dan pelanggan yang berurusan di Hospital ini.
Wa billahi taufiq wal hidayah
Wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
PERHIMPUNAN BULANAN HOSPITAL TUNKU JA’AFAR
13 JANUARI 2016
Assalamualaikum w.r.m.b
Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas limpah kurniaNYA dapat kita berhimpun pada pagi yang berbahagia ini iaitu dalam perhimpunan bulan Januari bulan pertama tahun 2016.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Menyambut Tahun tahun Baru (Happy New Year) kepada semua warga kerja Hospital ini semoga tahun ini kita dilimpahi rahmat serta dapat meningkatkan keazaman untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan sama ada dalam kehidupan kita seharian mahupun dalam melaksanakan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam.
Hadirin sekian,
Rancangan Malaysia Ke 11 bagi tempoh (2016 – 2020), yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri kita, YAB Mohd Najib Bin Abd Razak telah menggariskan 6 strategi utama iaitu:
Terdapat 4 strategi yang terlibat secara langsung dengan Kementerian Kesihatan dan beberapa inisiatif telah disediakan oleh pihak hospital selaras dengan arahan KKM iaitu:
MODAL INSAN
Modal Insan adalah sumber terpenting kepada pembangunan organisasi. Kejayaan sesebuah organisasi bergantung penuh kepada kekuatan dan kehebatan nilai, kompentensi dan kemahiran insaniah.
Dalam mendepani keperluan untuk meningkatkan produktiviti anggota, kursus dan latihan dalaman HTJS bagi tahun 2016 akan diperkasakan.
Dalam hubungan ini, setiap pegawai dan anggota diwajibkan untuk mencapai 7 hari berkursus bagi melengkapkan diri/dilengkapi dengan sikap(attitude), kemahiran(skill) dan pengetahuan(knowledge) yang bersesuaian melalui program pembangunan sumber manusia yang terancang yang berteraskan pembangunan kompentensi dan pembelajaran berterusan.
Mulai tahun 2016 ini saya menegaskan JKNNS tidak akan mempertimbangkan mana-mana pegawai dan anggota untuk pencalonan APC yang tidak mencapai sasaran 7 hari berkursus. Semua Ketua Unit/Penyelia dan anggota yang hadir pada pagi ini ambil maklum dan sebarkan kepada semua rakan-rakan yang lain.
KESEJAHTERAAN RAKYAT/PELANGGAN HTJ
Kesejahteraan rakyat adalah salah satu matlamat RMK 11. Tahap kesihatan rakyat dan kualiti penjagaan kesihatan akan terus ditingkatkan dan banyak inisiatif akan ditingkatkan oleh kerajaan seperti penambahan bilangan katil di hospital awam dan pada masa yang sama, lebih ramai pakar perubatan dan kakitangan kesihatan yang akan ditambah menjelang 2020.
Bagi mengurangkan beban kos sara hidup, di atas keprihatinan dan komitmen Kementerian Kesihatan telah membuat inisatif seperti memberi pengecualian bayaran caj pendaftaran di Jabatan pesakit luar sebanyak RM 5/- dan pengurangan caj pesakit kelas 3 sebanyak 50% kepada semua pesakit warganegara berumur 60 tahun dan ke atas.
Perkara ini mestilah dilaksanakan dan dimaklumkan kepada pesakit warga emas atau keluarga warga emas tersebut.
Makluman juga hendaklah dipamerkan di kaunter hasil dan di wad-wad. Ini ini kerana terdapat aduan yang mengenakan bayaran kepada warga emas.
Saya mahu sikap prihatin kepada pelanggan terutama kepada warga emas dan OKU hendaklah diutamakan dan sentiasa mencari jalan untuk memenuhi kehendak pelanggan yang merupakan elemen penting dalam usaha kita untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat.
Imej Hospital ini juga perlulah dijaga, bermula dengan cara kita melayan pelanggan dengan mesra dan memberikan senyuman.
Sekiranya ada aduan ianya perlu dikaji dan diteliti. Setiap teguran diambil dengan fikiran yang terbuka
Hadirin sekian,
Di Bawah Rancangan Malaysia ke 11 juga, bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di tahap optima, satu unit baru telah diluluskan oleh KKM iaitu Unit Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan HTJ.
Unit ini diketuai oleh Timb. Pengarah Klinikal II iaitu Dr. Zuraini Zainal. Dan terbahagi kepada 2 subunit
i) Unit Keselamatan Pekerjaan
(Diketuai oleh: Dr Essazul Imran Bin Md Aris)
ii) Unit Kesihatan Pekerjaan
(Diketuai oleh:Dr Mohd Nazri Bin Mohd Yasin)
PERTUMBUHAN HIJAU
Berbicara tentang pertumbuhan Hijau atau Go Green, senario global warning yang berlaku di seluruh dunia seperti perubahan cuaca yang panas, hujan dan sejuk yang tidak menentu telah mengakibatkan pelbagai bencana alam. Oleh itu, Kementerian Kesihatan juga telah menetapkan Pelan Stategik bagi penjimatan guna tenaga dan air mulai 2016.
Di bawah langkah penjimatan ini iaitu sebanyak 10%, kita hendaklah cuba untuk sekurang-kurangnya memperolehi 1 star rating penjimatan untuk tahun pertama 2016 dan dalam tempoh 5 tahun memperolehi 3 star rating.
Disamping itu perlaksanaan program 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) akan dilaksanakan mulai 2016. Tong-tong 3R ini akan ditempatkan dikawasan yang dikhaskan.
Semua rancangan ini akan dilaksanakan oleh Pihak Medivest dan dipantau oleh satu jawatankuasa Hospital yang dilantik. Program-program awareness juga akan disediakan oleh pihak Medivest.
PENINGKATAN NILAI ETIKA KERJA DAN DISIPLIN
Untuk makluman semua, Y.Bhg KSU KKM dalam mesyuarat JITU(1 April 2015) telah mengarahkan agar Pihak Hospital menubuhkan satu Jawatankuasa Etika dan Displin atau dikenali ( J.E.D)
Penubuhan Jawatankuasa ini bertujuan menyediakan satu platform khas dalam meneliti dan menyemak kes pegawai dan anggota bermasalah sebelum diputuskan untuk dibawa kepada pertimbangan lembaga tatatertib.
Ianya juga bertujuan untuk mengurangkan peratusan kes-kes tatatertib kerana kita akan mengenalpasti pegawai dan anggota yang bermasalah untuk diberikan peluang dan ruang untuk penambahbaikan prestasi diri.
Pelan tindakan Jabatan Kesihatan Negeri 2016 juga telah menggariskan pelan tindakan bagi pengurusan kehadiran pegawai dan anggota.
Semua pegawai dan anggota hendaklah sentiasa mematuhi arahan kehadiran ke pejabat mengikut Pekeliling sedia ada dan semua ketua-ketua unit hendaklah membuat pemantauan dan menyediakan laporan setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan bagi mengurangkan tindakan tatatertib ketidak hadiran bertugas ke Pejabat.
Laporan pemantauan ini hendaklah dihantar ke Bahagian Pentadbiran seterusnya di bawa ke Jawatankuasa J.E.D. bagi mengenalpasti punca masalah, membimbing, menasihati dan memberi kaunseling yang sewajarnya.
Seterusnya, diharap dengan adanya J.E.D. ini dapat memantapkan sistem pengurusan sumber manusia yang lebih baik dan memberikan faedah kepada organisasi.
Sehubungan itu, bekerjalah bersungguh-sungguh dengan nilai, moral dan etika yang tinggi kerana apa yang kita buat pada hari ini akan menentukan nasib anak-anak kita pada masa hadapan.
SASARAN KERJA TAHUNAN (SKT)
Sistem penilaian prestasi bagi perkhidmatan Awam melibatkan proses penetepan Sasaran Kerja Tahunan(SKT), penilaian pelakuan dan pencapaian kerja tahunan semasa.
Pelaksanaan SKT melalui Aplikasi HRMIS tahun 2016 perlu diselesaikan semua warga HTJS selewat-lewatnya pada 29 Februari. SKT ini seterusnya akan diperakukan oleh Pegawai Penyelia bermula 1 Mac-30 Mac 2016.
Saya juga ingin memaklumkan beberapa pekeliling yang telah diedarkan oleh JPA untuk diambil perhatian iaitu;
Pertama,
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2015
Mengikut pekeliling ini Kerajaan akan melaksanakan Dasar Pemisah (Exit Policy) iaitu satu dasar untuk mengeluarkan atau menamatkan perkhidmatan pegawai yang berprestasi rendah dari perkhidmatan awam. Sasaran Exit Policy adalah pegawai yang berprestasi rendah yang memperolehi markah LNPT iaitu kurang daripada 60%.
Exit policy ini berkuatkuasa mulai 19 November 2015.
Dan yang kedua,
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2015
Pekeliling ini bertujuan untuk menambahbaik kadar kemudahan cuti rehat tahunan pegawai perkhidmatan awam. Dengan berkuatkuasanya pekeliling ini mulai 1 Januari 2016 maka opsyen dan pemakaian kadar kelayakan Cuti Rehat Tahunan Pekeliling Perkhidmatan Bil 14/2008 adalah terhenti.
Dengan ini semua pegawai dan anggota yang genap 10 tahun perkhidmatan dan lebih dari lantikan pertama mohon buat semakan semula ke Unit Perkhidmatan.
Hadirin sekian,
Bagi melaksanakan rancangan-rancangan yang telah ditetapkan oleh kementerian adalah bukan kerja yang mudah. Walau bagaimanapun kita mesti berusaha bersungguh-sungguh, dan melipat gandakan usaha ke arah mencapai matlamat tersebut.
Sekiranya kita bekerjasama dengan baik antara satu sama lain, dan mengikut arahan dengan baik, saya percaya kita dapat mencapai matlamat ini dengan lebih awal.
Kita juga hendaklah sentiasa menjaga prestasi dan produktiviti mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan dari masa ke semasa. Disamping itu juga jangan lupa menjaga kesihatan diri supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dalam menjalani tugas harian.
Sebelum menutup ucapan saya, saya ingin mengucapkan Selamat bersara kepada DR Rachal Matthew yang akan bersara mulai 14 Januari 2016.
Segala jasa dan bakti Dr Rachal diucapkan ribuan terima kasih dan jasamu tetap dikenang.
Sekian. Terima kasih.
PERHIMPUNAN BULANAN HOSPITAL TUANKU JA’AFAR
13 JANUARI 2017
Bismillahirahmanirahim, Terima kasih Tuan Pengacara Majlis
Yang Dihormati Timbalan-Timbalan Pengarah;
Dr. Hajah Zuraini Zainal,
Dr. Ravindran a/l M.Vythilingam ,
Dr. Zaharimah Abd. Kadir
En. Tan Kim Huat (Timbalan Pengarah Pengurusan),
Ketua-Ketua Jabatan/Unit, dan seterusnya hadirin warga kerja HTJS yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh, Salam Sejahtera dan selamat pagi.
Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas limpah kurniaNYA dapat kita berhimpun pada pagi yang berbahagia ini iaitu dalam perhimpunan pertama bagi tahun 2017 ini.
Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua warga kerja Hospital Tuanku Ja’afar ini. Semoga tahun ini kita akan menanamkan azam dan tekad yang baru untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan sama ada dalam kehidupan kita seharian mahupun dalam melaksanakan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam.
Saya juga turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan tahniah kepada Bahagian Pengurusan kerana telah berjaya menganjurkan Perhimpunan Bulanan pada pagi ini.
Justeru itu, dikesempatan ini, saya ingin menyampaikan beberapa amanat dan perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh Warga HTJS khususnya yang berkaitan dengan perkhidmatan.
SASARAN KERJA TAHUNAN (SKT)
Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sasaran Kerja Tahunan ini merupakan perancangan kerja yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini. Sehubungan itu, perhatian dan kerjasama pihak Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan adalah dipohon untuk menyediakan Sasaran Kerja Tahunan melalui aplikasi HRMIS selewat-lewatnya pada 31 Januari 2017.
Ini bagi mengelakkan masalah akan timbul khususnya yang membabitkan tahap kompetensi dan penilaian LNPT oleh Ketua Jabatan pada akhir tahun sekiranya ianya lewat dilaksanakan.
LAPORAN NILAIAN PRESTASI TAHUNAN MANUAL
Suka juga saya ingin mengingatkan supaya Ketua-Ketua Jabatan memastikan Pegawai Perubatan Siswazah lantikan Disember 2015 untuk melengkapkan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan Manual dengan kadar segera bagi membolehkan diberi penilaian bagi tahun 2016.
Pemarkahan LNPT tersebut adalah bagi membolehkan Pegawai-Pegawai Perubatan Siswazah ini dibawa bersidang di dalam Mesyuarat PPSM bagi menentukan pergerakan gaji. Perkara ini juga terpakai bagi anggota baru yang dilantik pada Disember 2016.
PERUNTUKAN KEWANGAN TAHUN 2017
Dato’-Dato’ Tuan-Tuan dan Puan-Puan
Untuk makluman hadirin semua, terutamanya Ketua-Ketua Jabatan dan Unit,
Pada tahun ini iaitu 2017, perbelanjaan mengurus HTJS adalah sebanyak RM 288 juta berbanding tahun 2016 RM 312.00 juta, ini menunjukkan pengurangan sebanyak RM 24juta yang diterima berbanding tahun sebelumnya.
Oleh demikian, saya menyeru kepada semua Ketua Jabatan/Unit untuk menetapkan keutamaan serta meneruskan perbelanjaan berhemah memandangkan sumber peruntukan adalah amat-amat terhad.
BAJET 2017 – Bantuan Khas Kewangan
Dato’-Dato’ Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sebagaimana yang hadirin semua sedia maklum, Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM 500 sebagaimana yang telah diumumkan di dalam Perbentangan Belanjawan Oktober yang lalu telah diberikan kepada semua penjawat awam pada 3 Januari 2017.
Walau bagaimanapun, sekiranya masih terdapat anggota HTJS yang belum menerima bayaran tersebut Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan boleh merujuk perkara ini kepada Unit Perkhidmatan.
PEKELILING PERKHIDMATAN TERKINI
Pekeliling Perkhidmatan Bil. 11 Tahun 2016 - Kemudahan Cuti Kuarantin
Hadirin sekalian,
Kerajaan juga amat mengambil berat mengenai isu kebajikan penjawat awam. Oleh itu, Pelaksanaan Kemudahan Cuti Kuarantin telah dilaksanakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 11 Tahun 2016. Edaran mengenai perkara ini juga telah dibuat oleh Unit Perkhidmatan melalui memo bertarikh 28 Disember 2016.
NATIONAL REGISTER SPECIALIST (NSR)
Untuk makluman Dato’-Dato’ Tuan-Tuan dan Puan-Puan,
Sehingga 30 Disember 2016, seramai 52 orang daripada keseluruhan 114 Pakar Perubatan telah mendaftar dengan National Register Specialist (NSR). Walau bagaimanapun, terdapat ramai pakar yang masih belum berdaftar dan juga memperbaharui pendaftaran untuk keahlian NSR ini.
Justeru itu, saya menyeru Ketua-Ketua Jabatan untuk menyemak dan memastikan Doktor-Doktor Pakar di Jabatan masing-masing melaksanakan perkara ini. Resit pendaftaran boleh dikemukakan ke Unit Perkhidmatan untuk tujuan rekod dan bayaran balik.
AKHIR KATA,
Sebagai penutup saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan perhimpunan bulanan kali ini. Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina khususnya kepada Timbalan Pengurusan En. Tan Kim Huat. Semoga sambutan Tahun Baru Cina kali ini akan disambut dengan meriah bersama keluarga.
Sekian, wabillahi taufiq walhidayah. Assalamualaikum w.b.t
PERHIMPUNAN BULANAN HOSPITAL TUANKU JA'AFAR
BAHAGIAN PENGURUSAN
5 JANUARI 2018
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Yang Berusaha Saudara / Saudari Pengacara Majlis,
Yang Berbahagia Dr Hajah Zuraini Zainal, Timbalan Pengarah Klinikal I
Yang Berbahagia Dr Ravindran Vithillingam, Timbalan Pengarah Klinikal II
Yang Berbahagia Dr Zaharimah Abd Kadir, Timbalan pengarah Klinikal III
Yang Berusaha Encik Tan Kim Huat, Timbalan Pengarah Pengurusan
Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Unit, Datuk-Datuk, Datin-Datin,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, seluruh warga HTJS yang dihormati sekalian.
KATA-KATA ALUAN
Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana atas limpah kurniaNYA, dapat kita berkumpul bagi Perhimpunan Bulan Januari 2018 pada hari ini dengan tema “Tekadkan Azam, Tingkatkan Usaha” dan didedikasikan kepada semua warga kerja Hospital Tuanku Ja’afar Seremban. Terima kasih ditujukan kepada Bahagian Pengurusan selaku pihak urusetia yang mengelolakan Majlis Perhimpunan Bulan Januari ini.
Tahun 2017 sudah pun melabuhkan tirainya. Kita telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran sepanjang tahun 2017. Semoga tahun baru ini, kita sama-sama akan berusaha untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan agar lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
PELAKSANAAN PEKELILING PERKHIDMATAN TERKINI
1. Bantuan Khas Penjawat Awam
Untuk makluman semua, sebagaimana yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2018 pada Oktober tahun lalu, penjawat akan diberikan Bayaran Bantuan Khas. Ianya akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada 8 Januari 2018 sebanyak RM 1000 dan RM500 dibayar pada Aidilfitri akan datang.
2. Kebenaran Cuti Rehat Melebihi 150 hari
Mulai 1 Januari 2018, melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 tahun 2017, bayaran ‘award’ ganjaran wang tunai akan dibayar untuk tempoh 150 hari GCR yang disimpan. Manakala, bagi penjawat awam yang menyimpan GCR melebihi 150 hari dibenarkan untuk menggunakan hari-hari yang lebih tersebut sebagai cuti rehat pada tahun persaraan.
3. Kemudahan Cuti Umrah
Kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2017 telah memberikan kemudahan Cuti Umrah kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan yang beragama Islam untuk menunaikan ibadah umrah sekali (one-off) dalam tempoh perkhidmatan iaitu maksimum 7 hari.
4. Penambahbaikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) di Agensi Kerajaan
Selaras dengan transformasi Perkhidmatan Awam dan usaha penambahbaikan berterusan untuk mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang awam serta memberi fleksibiliti Waktu Peringkat (WP), Kerajaan telah menambah satu lagi WP dalam jadual WBB yang sedia ada di semua agensi Kerajaan Persekutuan di seluruh negara iaitu dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang. (Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2017)
5. Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam
Bagi menjaga kebajikan pegawai perkhidmatan awam wanita, Kerajaan telah bersetuju untuk menambah jumlah cuti bersalin bergaji penuh daripada 300 hari ke 360 hari sepanjang perkhidmatan. Tempoh maksimum cuti bersalin bagi setiap kelahiran adalah 90 hari. (Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2017)
6. Pelaksanaan Kebenaran Pulang Awal Satu Jam Kepada Pegawai Wanita Mengandung
Kerajaan juga telah memperkenalkan satu lagi inisiatif iaitu kemudahan pulang awal satu (1) jam untuk semua pegawai wanita Perkhidmatan Awam lantikan tetap dan kontrak (contract of service) yang mengandung (lima bulan ke atas). Kemudahan ini turut dipanjangkan kepada suami yang merupakan pegawai perkhidmatan awam dan bekerja di lokasi yang berdekatan.
(Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017)
Segala pertanyaan mengenai Pekeliling Perkhidmatan yang baharu dikuatkuasakan ini, tuan-tuan dan puan-puan sekalian bolehlah merujuk dengan Unit Perkhidmatan, HTJS.
Saudara-saudari yang dihormati sekalian,
Peruntukan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Tahun 2018
Untuk makluman semua, Peruntukan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Tahun 2018 dijangka hanya akan diterima pada Februari/Mac 2018, semua Ketua Jabatan/Unit hanya dibenarkan untuk menganjurkan kursus tanpa peruntukan makan minum sehingga waran LDP diterima daripada JKNNS.
Bagi permohonan menghadiri kursus yang melibatkan yuran pendaftaran, permohonan hanya akan diterima bagi seorang wakil sahaja daripada sesuatu jabatan/unit untuk sesuatu kursus fungsional.
Hadirin sekalian,
Keselamatan ICT
Ancaman siber kini dilihat semakin mencabar. Tahun 2017 merekodkan insiden keselamatan ICT telah berlaku di HTJS melalui ancaman ransomware ‘wannacry’.
Era baru ancaman siber kini tidak memerlukan penggodam mengambil masa yang panjang untuk menceroboh masuk aset ICT walaupun dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang kukuh.
Apa yang lebih membimbangkan adalah kelemahan pengurusan maklumat kita yang membuka peluang dan ruang kepada penggodam tanpa mereka perlu melalui sebarang kesukaran menceroboh masuk aset ICT dengan hanya kerana “kata laluan (password)” kita yang lemah” atau “tiada kata laluan”.
Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kita semua agar tembok pertahanan kita tidak mampu diceroboh oleh mana-mana serangan siber. Sehubungan dengan itu, saya menyeru warga HTJS memahami Dasar Keselamatan ICT (DKICT) agar ia menjadi satu panduan bersama untuk menanganinya.
Hadirin sekalian,
Penetapan Sasaran Kerja Tahunan 2018
Untuk makluman, pihak Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan telah mengeluarkan arahan mengenai Sasaran Kerja Tahunan 2018 yang perlu dikunci masuk ke dalam sistem HRMIS mulai Januari 2018 hingga Februari 2018 dan perlu disahkan oleh Pegawai Penilai Pertama (PPP).
Adalah menjadi KPI Hospital / JKNNS dan Kementerian agar sasaran sebanyak 100% SKT dapat dilaksanakan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.
Pertubuhan BAHEIS
Sebagaimana yang hadirin sedia maklum, BAHEIS merupakan pertubuhan yang berdaftar bagi warga muslim HTJS. Namun, program-program yang dianjurkan oleh BAHEIS juga mengalu-alukan penglibatan semua anggota tanpa mengira agama.
Adalah dimaklumkan juga, bersempena sambutan Maulidur Rasul pada 1 Disember 2017 yang lalu, BAHEIS akan menganjurkan pertandingan nasyid pada 25 Januari ini. Semua warga adalah digalakan untuk mengambil bahagian.
PENUTUP
Akhir kata, selamat maju jaya dan teruskan memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang pada tahun ini selaras dengan matlamat kita iaitu menjadi agensi pusat kecemerlangan terunggul di dalam bidang kepakaran utama.
Sekian, terima kasih.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
| Bil | Wad | Disiplin |
| 1 | 1C | Nefrologi (Hemodialisis) |
| 2 | 1E | Nefrologi, Perubatan |
| 3 | 1F | Perubatan Am, Ortopedik, Geriatrik |
| 4 | 2B | Ortopedik |
| 5 | 2C | Otorinolaringologi, Pembedahan Am, Oftalmologi, Ginekologi, Ortopedik, Bedah Mulut / Pergigian, Perubatan Am |
| 6 | 3A | Bedah Mulut / Pergigian, Pembedahan Am, Ortopedik |
| 7 | 3A1 | Pembedahan Am |
| 8 | 3B | Bedah Mulut / Pergigian, Pembedahan Am |
| 9 | 4A | Oftalmologi, Otorinolaringologi |
| 10 | 4B | Ortopedik |
| 11 | 5A | Ortopedik |
| 12 | 5B | Perubatan Am |
| 13 | 5C (ICU) | Anestesiologi |
| 14 | 6A | Perubatan Am, Dermatologi |
| 15 | 6B | Perubatan Am |
| 16 | 6C | Ortopedik, Perubatan Am, Pembedahan Am |
| 17 | 7A | Perubatan Am, Dermatologi |
| 18 | 7B | Perubatan Am |
| 19 | 7C | Ortopedik, Bedah Mulut / Pergigian, Perubatan Am, Otorinolaringologi, Pembedahan Am, Oftalmologi |
| 20 | 8B | Otorinolaringologi, Bedah Mulut / Pergigian, Pembedahan Am |
| 21 | 8D | Pembedahan Am, Pembedahan Pediatrik , Otorinolaringologi, Pergigian, Ortopedik |
| 22 | CCU | Perubatan Am |
| 23 | HDW | Anestesiologi |
| 24 | Isolation | Perubatan Am |
| 25 | Kenanga 3A | Obstetrik |
| 26 | Kenanga 3B | Obstetrik |
| 27 | Kenanga 4A | Obstetrik |
| 28 | Kenanga 4B | Obstetrik |
| 29 | Kenanga 5A | Ginekologi |
| 30 | Kenanga 5B | Ginekologi |
| 31 | Melor 2A | Pediatrik |
| 32 | Melor 2B | Pediatrik |
| 33 | Mutiara | Psikiatri |
| 34 | NICU | Pediatrik |
| 35 | OICW | Obstetrik |
| 36 | PICU | Pediatrik |
| 37 | SCN | Pediatrik |
| 38 | Zamrud | Psikiatri |
Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban ( HTJS ) terletak di kawasan seluas 26 hektar di Jalan Rasah, 70300 Seremban. Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban berfungsi di bawah jagaan Kementerian Kesihatan Malaysia. Hospital ini mempunyai 1143 katil dan adalah yang terbesar di Negeri Sembilan. Hospital ini mempunyai 23 kepakaran klinikal, yang memberi perkhidmatan kepada penduduk Negeri Sembilan. Ia merupakan hospital rujukan bagi semua Hospital Daerah, Pusat Kesihatan dan semua Hospital serta Klinik Swasta di Negeri Sembilan.
OBJEKTIF
Untuk menyediakan perkhidmatan penentuan penyakit, perawatan dan pemulihan serta promosi kesihatan yang bermutu tinggi dengan cekap dan berkesan kepada pesakit yang memerlukan rawatan untuk menyelamatkan nyawa dan menghilangkan kesakitan bagi mencapai pemulihan yang awal dan maksima serta melayan orang awam dan pelawat dengan sifat penyayang dan nilai-nilai murni.
VISI
Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban ( HTJS ) akan menjadi pusat kecemerlangan dalam penjagaan aspek promotif, kuratif rawatan dan rehabilitatif di dalam bidang kepakaran utama. Selain menjadi pusat latihan berkualiti, pembangunan profesionalisme anggota perubatandan kesihatan bersekutu. Anggotanya akan bertindak secara profesional, bersifat penyayang dan bekerjasama sebagai satu pasukan ke arah menyediakan perkhidmatan mesra yang berasaskan bukti dan menggunakan teknologi yang sesuai dan berkesan.
MISI
Kami berjanji untuk memberikan perkhidmatan secara profesional, selamat, mesra, penyayang dan berkualiti.
1. Keutamaan akan kami berikan kepada kes kritikal dan separa kritikal di Jabatan Kecemasan dan Trauma dengan masa menunggu seperti berikut:
- Semua kes kritikal (Zon Merah) dirawat dengan serta-merta.
- Semua kes separa kritikal (Zon Kuning) dirawat dalam masa 15 minit.
- Lain-lain kes (Zon Hijau) akan dilihat mengikut keutamaan keadaan pesakit.
2. Perkhidmatan Klinik Pesakit Luar dan Klinik Pakar akan diberikan mengikut giliran dan / atau keadaan pesakit. Keutamaan akan diberikan kepada kanak-kanak, ibu hamil, warga emas dan orang kurang upaya.
3. Maklumat akan diberikan kepada pelanggan berkenaan penyakit dan perawatan.
4. Kerahsiaan maklumat peribadi, penyakit dan perawatan yang diberikan kepada pesakit adalah terjamin.
5. Kemudahan dan persekitaran yang bersih, selesa dan selamat disediakan.
Kami dari Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban berkomited memberikan perkhidmatan yang cekap, berkesan, berkualiti secara professional dengan menghayati Budaya Korporat Kementerian Kesihatan Malaysia serta melaksanakan penambahbaikan berterusan selaras dengan kehendak pelanggan.

Warna
Rekabentuk
Megah berdiri menjulang awan
Masyur namamu di persada
Mendukung misi dasar Negara
Jasa pada nusa dan bangsa
Khidmat diberi sepenuh jiwa
Tiada beza miskin dan kaya
Hasrat pelanggan diutamakan
Kualiti teras kejayaan
Chorus
Layanan mesra budaya kita
Sopan dan berbudi bahasa
Profesionalisme sepanjang masa
Itulah ikrar janji kita
Hospital Tuanku Ja’afar Seremban
Mengorak langkah ke hadapan
Perkasa namamu di pentas dunia
Menjadi banggaan Negara
Kini kita sudah berjaya
Terkenal seluruh Malaysia
Harum namamu di persada dunia
Dirgahayu bawah payung di Raja
Hospital Tuanku Ja’afar Seremban
Mengorak langkah ke hadapan
Perkasa namamu di pentas dunia
Menjadi banggaan Negara (2x)
Kemudahan-kemudahan yang disediakan: