PERHIMPUNAN BULANAN HOSPITAL TUANKU JA’AFAR
13 JANUARI 2017

 

Bismillahirahmanirahim, Terima kasih Tuan Pengacara Majlis

 

Yang Dihormati Timbalan-Timbalan Pengarah; 

Dr. Hajah Zuraini Zainal, 

Dr.  Ravindran a/l M.Vythilingam , 

Dr. Zaharimah Abd. Kadir  

En. Tan Kim Huat (Timbalan Pengarah Pengurusan), 

 

Ketua-Ketua Jabatan/Unit, dan seterusnya hadirin warga kerja HTJS yang dihormati sekalian. 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh, Salam Sejahtera dan selamat pagi. 

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana atas limpah kurniaNYA dapat kita berhimpun pada pagi yang berbahagia ini iaitu dalam perhimpunan pertama bagi tahun 2017 ini.

Rasanya masih belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua warga kerja Hospital Tuanku Ja’afar ini. Semoga tahun ini kita akan menanamkan azam dan tekad yang baru untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan sama ada dalam kehidupan kita seharian mahupun dalam melaksanakan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam.

Saya juga turut merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan tahniah kepada Bahagian Pengurusan kerana telah berjaya menganjurkan Perhimpunan Bulanan pada pagi ini. 

Justeru itu, dikesempatan ini, saya ingin menyampaikan beberapa amanat dan perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh Warga HTJS khususnya yang berkaitan dengan perkhidmatan.

 

SASARAN KERJA TAHUNAN (SKT) 

Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Sasaran Kerja Tahunan ini merupakan perancangan kerja yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini. Sehubungan itu, perhatian dan kerjasama pihak  Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan adalah dipohon untuk menyediakan Sasaran Kerja Tahunan melalui aplikasi HRMIS selewat-lewatnya pada 31 Januari 2017.

Ini bagi mengelakkan masalah akan timbul khususnya yang membabitkan tahap kompetensi dan penilaian LNPT oleh Ketua Jabatan pada akhir tahun sekiranya ianya lewat dilaksanakan.

 

LAPORAN NILAIAN PRESTASI TAHUNAN MANUAL 

Suka juga saya ingin mengingatkan supaya Ketua-Ketua Jabatan memastikan Pegawai Perubatan Siswazah lantikan Disember 2015 untuk melengkapkan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan Manual dengan kadar segera bagi membolehkan diberi penilaian bagi tahun 2016. 

Pemarkahan LNPT tersebut adalah bagi membolehkan Pegawai-Pegawai Perubatan Siswazah ini dibawa bersidang di dalam Mesyuarat PPSM bagi menentukan pergerakan gaji. Perkara ini juga terpakai bagi anggota baru yang dilantik pada Disember 2016.

 

PERUNTUKAN KEWANGAN TAHUN 2017

Dato’-Dato’ Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Untuk makluman hadirin semua, terutamanya Ketua-Ketua Jabatan dan Unit,

Pada tahun ini iaitu 2017, perbelanjaan mengurus HTJS adalah sebanyak RM 288 juta berbanding tahun 2016 RM 312.00 juta, ini menunjukkan pengurangan sebanyak RM 24juta yang diterima berbanding tahun sebelumnya.

Oleh demikian, saya menyeru kepada semua Ketua Jabatan/Unit untuk menetapkan keutamaan serta meneruskan perbelanjaan berhemah memandangkan sumber peruntukan adalah amat-amat terhad.

 

BAJET 2017 – Bantuan Khas Kewangan

Dato’-Dato’ Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

Sebagaimana yang hadirin semua sedia maklum, Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM 500 sebagaimana yang telah diumumkan di dalam Perbentangan Belanjawan Oktober yang lalu telah diberikan kepada semua penjawat awam pada 3 Januari 2017. 

Walau bagaimanapun, sekiranya masih terdapat anggota HTJS yang belum menerima bayaran tersebut Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan boleh merujuk perkara ini kepada Unit Perkhidmatan.

 

PEKELILING PERKHIDMATAN TERKINI

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 11 Tahun 2016 - Kemudahan Cuti Kuarantin

Hadirin sekalian, 

Kerajaan juga amat mengambil berat mengenai isu kebajikan penjawat awam. Oleh itu, Pelaksanaan Kemudahan Cuti Kuarantin telah dilaksanakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 11 Tahun 2016. Edaran mengenai perkara ini juga telah dibuat oleh Unit Perkhidmatan melalui memo bertarikh 28 Disember 2016. 

 

NATIONAL REGISTER SPECIALIST (NSR)

Untuk makluman Dato’-Dato’ Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

Sehingga 30 Disember 2016, seramai 52 orang daripada keseluruhan 114 Pakar Perubatan telah mendaftar dengan National Register Specialist (NSR). Walau bagaimanapun, terdapat ramai pakar yang masih belum berdaftar dan juga memperbaharui pendaftaran untuk keahlian NSR ini. 

Justeru itu, saya menyeru Ketua-Ketua Jabatan untuk menyemak dan memastikan Doktor-Doktor Pakar di Jabatan masing-masing melaksanakan perkara ini. Resit pendaftaran boleh dikemukakan ke Unit Perkhidmatan untuk tujuan rekod dan bayaran balik.

 

AKHIR KATA,

Sebagai penutup saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan perhimpunan bulanan kali ini. Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Cina  khususnya kepada Timbalan Pengurusan En. Tan Kim Huat. Semoga sambutan Tahun Baru Cina kali ini akan disambut dengan meriah bersama keluarga.

Sekian, wabillahi taufiq walhidayah. Assalamualaikum w.b.t