PERHIMPUNAN BULANAN HOSPITAL TUANKU JA'AFAR
BAHAGIAN PENGURUSAN
5 JANUARI 2018

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Yang Berusaha Saudara / Saudari Pengacara Majlis,
Yang Berbahagia Dr Hajah Zuraini Zainal, Timbalan Pengarah Klinikal I
Yang Berbahagia Dr Ravindran Vithillingam, Timbalan Pengarah Klinikal II
Yang Berbahagia Dr Zaharimah Abd Kadir, Timbalan pengarah Klinikal III
Yang Berusaha Encik Tan Kim Huat, Timbalan Pengarah Pengurusan
Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Unit, Datuk-Datuk, Datin-Datin,
Tuan-Tuan dan Puan-Puan, seluruh warga HTJS yang dihormati sekalian.

KATA-KATA ALUAN

Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana atas limpah kurniaNYA, dapat kita berkumpul bagi Perhimpunan Bulan Januari 2018 pada hari ini dengan tema “Tekadkan Azam, Tingkatkan Usaha” dan didedikasikan kepada semua warga kerja Hospital Tuanku Ja’afar Seremban. Terima kasih ditujukan kepada Bahagian Pengurusan selaku pihak urusetia yang mengelolakan Majlis Perhimpunan Bulan Januari ini.

Tahun 2017 sudah pun melabuhkan tirainya. Kita telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran sepanjang tahun 2017. Semoga tahun baru ini, kita sama-sama akan berusaha untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan agar lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

PELAKSANAAN PEKELILING PERKHIDMATAN TERKINI

1. Bantuan Khas Penjawat Awam

Untuk makluman semua, sebagaimana yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2018 pada Oktober tahun lalu, penjawat akan diberikan Bayaran Bantuan Khas. Ianya akan dibayar sebanyak dua kali iaitu pada 8 Januari 2018 sebanyak RM 1000 dan RM500 dibayar pada Aidilfitri akan datang.

2. Kebenaran Cuti Rehat Melebihi 150 hari

Mulai 1 Januari 2018, melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 tahun 2017, bayaran ‘award’ ganjaran wang tunai akan dibayar untuk tempoh 150 hari GCR yang disimpan. Manakala, bagi penjawat awam yang menyimpan GCR melebihi 150 hari dibenarkan untuk menggunakan hari-hari yang lebih tersebut sebagai cuti rehat pada tahun persaraan.

3. Kemudahan Cuti Umrah

Kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2017 telah memberikan kemudahan Cuti Umrah kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan yang beragama Islam untuk menunaikan ibadah umrah sekali (one-off) dalam tempoh perkhidmatan iaitu maksimum 7 hari.

4. Penambahbaikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) di Agensi Kerajaan

Selaras dengan transformasi Perkhidmatan Awam dan usaha penambahbaikan berterusan untuk mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang awam serta memberi fleksibiliti Waktu Peringkat (WP), Kerajaan telah menambah satu lagi WP dalam jadual WBB yang sedia ada di semua agensi Kerajaan Persekutuan di seluruh negara iaitu dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang. (Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2017)

5. Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam

Bagi menjaga kebajikan pegawai perkhidmatan awam wanita, Kerajaan telah bersetuju untuk menambah jumlah cuti bersalin bergaji penuh daripada 300 hari ke 360 hari sepanjang perkhidmatan. Tempoh maksimum cuti bersalin bagi setiap kelahiran adalah 90 hari. (Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2017)

6. Pelaksanaan Kebenaran Pulang Awal Satu Jam Kepada Pegawai Wanita Mengandung

Kerajaan juga telah memperkenalkan satu lagi inisiatif iaitu kemudahan pulang awal satu (1) jam untuk semua pegawai wanita Perkhidmatan Awam lantikan tetap dan kontrak (contract of service) yang mengandung (lima bulan ke atas). Kemudahan ini turut dipanjangkan kepada suami yang merupakan pegawai perkhidmatan awam dan bekerja di lokasi yang berdekatan.
(Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2017)

Segala pertanyaan mengenai Pekeliling Perkhidmatan yang baharu dikuatkuasakan ini, tuan-tuan dan puan-puan sekalian bolehlah merujuk dengan Unit Perkhidmatan, HTJS.

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

Peruntukan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Tahun 2018

Untuk makluman semua, Peruntukan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) Tahun 2018 dijangka hanya akan diterima pada Februari/Mac 2018, semua Ketua Jabatan/Unit hanya dibenarkan untuk menganjurkan kursus tanpa peruntukan makan minum sehingga waran LDP diterima daripada JKNNS.

Bagi permohonan menghadiri kursus yang melibatkan yuran pendaftaran, permohonan hanya akan diterima bagi seorang wakil sahaja daripada sesuatu jabatan/unit untuk sesuatu kursus fungsional.

Hadirin sekalian,

Keselamatan ICT

Ancaman siber kini dilihat semakin mencabar. Tahun 2017 merekodkan insiden keselamatan ICT telah berlaku di HTJS melalui ancaman ransomware ‘wannacry’.

Era baru ancaman siber kini tidak memerlukan penggodam mengambil masa yang panjang untuk menceroboh masuk aset ICT walaupun dilengkapi ciri-ciri keselamatan yang kukuh.

Apa yang lebih membimbangkan adalah kelemahan pengurusan maklumat kita yang membuka peluang dan ruang kepada penggodam tanpa mereka perlu melalui sebarang kesukaran menceroboh masuk aset ICT dengan hanya kerana “kata laluan (password)” kita yang lemah” atau “tiada kata laluan”.

Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab yang perlu dipikul oleh kita semua agar tembok pertahanan kita tidak mampu diceroboh oleh mana-mana serangan siber. Sehubungan dengan itu, saya menyeru warga HTJS memahami Dasar Keselamatan ICT (DKICT) agar ia menjadi satu panduan bersama untuk menanganinya.

Hadirin sekalian,

Penetapan Sasaran Kerja Tahunan 2018

Untuk makluman, pihak Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan telah mengeluarkan arahan mengenai Sasaran Kerja Tahunan 2018 yang perlu dikunci masuk ke dalam sistem HRMIS mulai Januari 2018 hingga Februari 2018 dan perlu disahkan oleh Pegawai Penilai Pertama (PPP).

Adalah menjadi KPI Hospital / JKNNS dan Kementerian agar sasaran sebanyak 100% SKT dapat dilaksanakan mengikut tarikh yang telah ditetapkan.

Pertubuhan BAHEIS

Sebagaimana yang hadirin sedia maklum, BAHEIS merupakan pertubuhan yang berdaftar bagi warga muslim HTJS. Namun, program-program yang dianjurkan oleh BAHEIS juga mengalu-alukan penglibatan semua anggota tanpa mengira agama.

Adalah dimaklumkan juga, bersempena sambutan Maulidur Rasul pada 1 Disember 2017 yang lalu, BAHEIS akan menganjurkan pertandingan nasyid pada 25 Januari ini. Semua warga adalah digalakan untuk mengambil bahagian.

PENUTUP

Akhir kata, selamat maju jaya dan teruskan memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang pada tahun ini selaras dengan matlamat kita iaitu menjadi agensi pusat kecemerlangan terunggul di dalam bidang kepakaran utama.

Sekian, terima kasih.

Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.